CARA BIDAAN SISTEM e-LELONG ONLINE (Tanpa Perlu Hadir Mahkamah)
e-Lelong adalah satu sistem pertama di Malaysia yang mengendalikan lelong awam harta tak alih di Mahkamah secara atas talian mengikut masa sebenar di mana pembida boleh membuat bidaan dari mana-mana tempat tanpa perlu hadir ke Mahkamah.Bagaimanakah cara bidaan e-Lelong?
Kemudahan yang disediakan oleh e-Lelong
Antara kemudahan sistem e-Lelong:
- Membuat bidaan secara atas talian tanpa perlu hadir ke Mahkamah memandangkan lelong awam dijalankan secara atas talian mengikut masa sebenar.
- Pembida boleh menyemak butiran hartanah secara terperinci dan menyeluruh.
- Pembida boleh membuat carian hartanah yang akan dilelong dengan lebih mudah dan meluas.
- Identiti pembida dan maklumat adalah dirahsiakan.
- Tiada campurtangan dari pihak ketiga dan sindiket.
- Transaksi lelong awam dijalankan dengan telus dan berintegriti.
CARA BIDAAN SISTEM e-LELONG
Cara mendaftar sebagai pembida
- Anda hanya perlu pergi ke halaman pendaftaran di halaman pendaftaran, mengisi butiran dan mengemukakan dokumen yang dikehendaki dan seterusnya menghantar permohonan pendaftaran anda. Anda akan menerima pemberitahuan melalui e-mel untuk mengakses ke laman web e-Lelong sebagai pembida.
- Pembida hanya perlu mendaftar sekali sahaja dalam sistem e-Lelong dan pendaftaran ini terpakai bagi lelongan seterusnya.
Cara untuk membuat bidaan
- Untuk maklumat lanjut, sila rujuk kepada ‘Panduan Pengguna’ yang telah disediakan.
- Bolehkah saya membuat bidaan bagi pihak syarikat?
- Ya, anda boleh membuat bidaan bagi pihak syarikat. Wakil yang membuat bidaan bagi pihak syarikat perlu menyertakan dokumen sepertimana yang dikehendaki ketika membuat pendaftaran di laman web e-Lelong. Untuk maklumat lanjut sila layari Pendaftaran.
Deposit untuk menyertai lelongan
- Pembida hendaklah memasukkan deposit sebanyak sepuluh peratus (10%) daripada harga rizab atas hartanah yang hendak dilelong dalam bentuk Bank Draf atas nama Plaintif selewat-lewatnya satu (1) hari bekerja sebelum tarikh lelong awam secara perkhidmatan Pos Laju (Pos Malaysia) atau serahan tangan ke Pusat Operasi e-Lelong, Kompleks Mahkamah Kuantan, atau secara serahan tangan ke mana-mana Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung.
- Jika saya berjaya dalam lelongan, apakah yang akan berlaku pada Deposit saya?
- Sekiranya anda adalah pembida yang berjaya, Deposit anda akan diserahkan kepada pihak Plaintif. Jumlah baki harga jualan yang perlu dibayar akan ditolak dengan jumlah Deposit yang telah diserahkan.
- Berapa lama tempoh untuk menyelesaikan Baki Harga Jualan?
- Baki harga jualan perlu diselesaikan oleh pembida yang berjaya dalam tempoh satu ratus dua puluh (120) hari dari tarikh jualan.
- Apa yang berlaku jika saya gagal menyelesaikan baki harga jualan dalam tempoh satu ratus dua puluh (120) hari?
- Sekiranya baki harga jualan tidak diselesaikan dalam tempoh tersebut, jumlah yang dibayar sebagai Deposit kepada plaintif akan dilucutkan mengikut peruntukan dalam seksyen 267A Kanun Tanah Negara 1965.
- Jika saya tidak berjaya dalam lelongan, adakah saya akan mendapat kembali Deposit saya? Jika ya, bila saya akan mendapatkannya kembali?
- Ya, kami akan memulangkan deposit anda (Bank Draf). Jika anda memasukkan Bank Draf secara perkhidmatan Pos Laju (Pos Malaysia), pemulangan Bank Draf tersebut akan diproses dalam tempoh 3 hari bekerja. Bagi pemulangan Bank Draf yang dimasukkan secara serahan tangan di mana-mana Mahkamah Tinggi Malaya di Semenanjung Malaysia, anda boleh mengambil kembali Bank Draf tersebut pada bila-bila masa sejurus selepas lelongan awam berakhir.
CARA BIDAAN SISTEM e-LELONG
Maksud bidaan
Apakah yang dimaksudkan dengan Bidaan maksimum?
- Bidaan maksimum adalah jumlah maksimum yang boleh ditetapkan oleh anda untuk membeli hartanah tersebut. Jumlah akhir yang anda perlu bayar boleh menjadi lebih rendah daripada bidaan maksimum yang anda telah tetapkan (bergantung kepada hasil lelongan), tetapi tidak akan melebihinya.
Apakah yang dimaksudkan dengan pertambahan bidaan?
- Pertambahan Bidaan adalah jumlah minimum untuk menaikan bidaan anda. Nilai tambahan juga perlu menjadi gandaan Bidaan Pertambahan.
Bolehkah saya meletakkan bidaan sebelum lelongan bermula?
- Ya, anda boleh menetapkan bidaan maksimum anda sebelum lelongan bermula. Walaubagaimanapun, proses bidaan sebenar hanya akan bermula selepas lelongan bermula.
Bolehkah saya menurunkan bidaan saya?
- Jika anda adalah pembida tertinggi semasa lelongan, anda boleh mengurangkan bidaan anda. Jika anda telah dikalahkan dalam bidaan oleh pembida lain, anda tidak akan dapat menurunkan bidaan anda.
Waktu Lelong Awam?
- Lelong awam akan dijalankan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat dan terbahagi kepada 3 sesi iaitu:
- Sesi 1- 9.00 pagi;
- Sesi 2- 11.00 pagi; dan
- Sesi 3- 2.30 petang.
Bila Lelongan akan berakhir?
- Tempoh Lelongan hanya satu jam, tetapi akan berakhir jika tiada pembida yang aktif dalam masa 2 minit 30 saat. Kiraan masa akan dipaparkan apabila hanya tinggal 30 saat. Jika terdapat pembida yang telah membayar deposit tetapi tidak menetapkan bidaan maksimum mereka, lelongan akan berakhir dalam masa 30 minit jika mereka tidak mengambil bahagian.
Bolehkah saya membuat bidaan sekiranya terdapat kiraan masa 30 saat dipaparkan?
- Ya, anda masih boleh membuat bidaan walaupun kiraan masa 30 saat telah dipaparkan.
Apakah syarat untuk membida?
- Untuk maklumat lanjut, sila layari pada halaman Terma & Syarat.
Apa yang berlaku jika pembida lain meletakkan bidaan maksimum yang sama seperti saya?
- Sebelum lelongan bermula, pembida boleh meletakkan bidaan maksimum yang sama. Jika bidaan maksimum adalah jumlah tertinggi yang ditetapkan di antara semua pembida sebelum lelongan bermula, pembida pertama yang menetapkannya akan menang. Jika pembida meletakkan bidaan maksimum yang sama selepas lelongan bermula, sistem akan menghalang pembida daripada meletakkan bidaan.
Saya terlupa ID saya (login e-mel), apa yang perlu saya lakukan?
- Sila hantar e-mel kepada [email protected] bersama dokumen ID anda. Anda perlu menjawab Soalan Keselamatan anda untuk mendapatkan semula ID anda.
Saya terlupa kata laluan saya, apa yang perlu saya lakukan?
- Anda boleh meminta kata laluan sementara dengan memasukkan alamat e-mel yang anda gunakan untuk mendaftar dengan e-Lelong dengan mengklik pada ‘Terlupa Kata Laluan’.
Bagaimana caranya melindungi ID Pengguna dan Kata Laluan?
- ID Pengguna dan Kata Laluan adalah kunci bagi anda untuk mengakses ke laman web e-Lelong untuk menyertai bidaan. Antara langkah yang dapat membantu anda melindungi ID Pengguna dan Kata Laluan adalah seperti berikut:
- Jangan dedahkan ID Pengguna dan Kata Laluan kepada sesiapa
- Jangan berikan ID Pengguna dan Kata Laluan anda melalui e-mel atau telefon
- Jangan gunakan fungsi “Remember Password”, kerana maklumat anda akan mudah diakses oleh penggodam komputer
- Keluar atau ‘Log Out’ dari laman web e-Lelong sebaik sahaja anda menyelesaikan segala aktiviti yang diperlukan.
Apakah pelayar yang sesuai digunakan untuk akses kepada laman web e-lelong ?
- Laman web e-lelong sesuai dilayari menggunakan pelayar Chrome versi terkini dan Mozilla Versi terbaru.
Apakah yang perlu saya lakukan sekiranya menghadapi masalah untuk log masuk ke dalam sistem?
- Sila hubungi Pusat Operasi e-Lelong di talian 09-5707063 atau e-mel ke [email protected] untuk bantuan.
Berapakah had tempoh masa sesi di laman web e-Lelong?
- Sebagai langkah keselamatan, sesi di laman web e-Lelong akan ditamatkan secara automatik jika anda membiarkannya tidak aktif selama lebih dari 15 minit.
Bolehkah saya log masuk ke dalam laman web e-Lelong dengan menggunakan peranti lain pada masa yang sama dengan menggunakan ID Pengguna yang sama?
- Tidak, anda akan dihalang daripada log masuk ke dalam laman web e-Lelong dengan menggunakan peranti lain pada masa yang sama dengan menggunakan ID Pengguna yang sama. Sistem e-Lelong menggunapakai kaedah pengesahan “Single Sign-On”. ID Pengguna hanya boleh digunakan pada satu peranti pada satu masa.
ARTIKEL LAIN
CARA BELI KERETA LELONG JPJ (Semakan Senarai Tarikh Lelong)
1 thought on “CARA BIDAAN e-LELONG ONLINE (Tanpa Hadir Mahkamah)”