
HUKUM BERMAIN KUTU DI MALAYSIA
Bagi memudahkan anda memahami tentang HUKUM BERMAIN KUTU DI MALAYSIA , kami berkongsi beberapa pandangan untuk memberi penjelasan yang berkaitan.
PENGENALAN SISTEM KUTU DI MALAYSIA
Sudah menjadi budaya dan kebiasaan di Malaysia, terutamanya di awal tahun baharu, ramai kawan-kawan di tempat kerja yang mengajak anda untuk bermain kutu. Permainan kutu semakin bergiat aktif di kalangan rakyat Malaysia terutamanya golongan wanita.
Permainan kutu ini didefinisikan sebagai satu permainan yang menggunakan wang untuk menabung secara berkumpulan. Ahli-ahli kumpulan perlu membuat undian untuk menentukan giliran mereka mendapatkan wang. Setiap permainan kutu yang dijalankan diketuai oleh seorang ketua yang digelar sebagai “ibu kutu”.
Ibu kutu dipertanggungjawabkan untuk mengutip dan menyimpan wang daripada ahli kumpulan mengikut masa yang ditetapkan. Kemudian, ibu kutu perlu mengagihkan wang yang terkumpul kepada ahli kumpulan mengikut giliran yang ditetapkan
PANDANGAN PROF DR AZMAN MOHD NOOR
Bermain kutu adalah amalan sebahagian masyarakat Islam khasnya wanita di Timur Tengah (dipanggul “Jumu’iyyah), Afrika (di Nigeria ia dipanggil “adashi”dan Malaysia khasnya di Pantai Timur. Isu Syariah ialah mensyaratkan hutang dibalas dengan hutang iaitu “aqridni uqriduka”, yang bereti: “Bagi hutang kepada saya, saya akan bagi hutang pada kamu”. Kebanyak an Fuqaha tidak membenarkan hutang bersyarat sebegini kerana ada unsur mengambil manfaat dari hutang.
Perlu juga dipertimbangkan, manfaat daripada hutang yang diharamkan ialah manfaat yang dikhususkan kepada pemberi hutang (lender). Adapun manfaat kepada peminjam, ia diharuskan. Dalam kontek kutu, semua ahli akan memperolehi manfaat dan tidak disyaratkan siapa yang dapat dahulu
Mazhab Maliki pula membenarkan mewaqafkan duit secara bertempoh melalui dana waqaf yang menyediakan khidmat pinjaman hutang kepada ahli/sesiapa yang memerlukan. Dalam konteks kutu, seolah olah duit simpanan bulanan dikumpul kemudian diberi pinjam kepada ahli secara bergilir.
Berdasarkan pandangan Mazhab Maliki yang membenarkan berhutang dari waqaf, dan konsep kerjasama, persepakatan dan persetujuan di antara ahli peserta kutu, (bukannya hubungan antara dua pihak) tanpa melibatkan bayaran riba, atau apa apa skim pelaburan, saya berpandangan bahawa ia adalah harus. Tetapi, konteks undang-undang perlu dipertimbangkan.”
PANDANGAN DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
Setakat info yang diberikan dan juga menurut pengetahuan saya berkenaan skim ‘kutu’ ini, secara dasarnya saya lihat urus aturan ‘kutu’ ini adalah harus. (Namun keharusan ini telah dibataskan oleh akta wang kutu di atas tadi).
Ini adalah kerana sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara ‘in advance’ disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran ‘In advance’ ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah dari semua ahli kumpulan.
Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya. Namun demi memastikannya halal, perlulah memastikan semua ahli kumpulan boleh dipercayai, dikenali dan membuat aqad bertulis bagi protect kemaslahatan semua. Tanpanya, permainan terdedah kepada penipuan dan gharar. Bayangkan zaman hari ini, orang yang nampak baik pun liat nak bayar hutang.
PANDANGAN DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI (MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN)
1. Kedua-dua pihak mendapat manfaat yang sama rata. Justeru ia sewajarnya diharuskan.
2. Sistem kutu tidak termasuk dalam bentuk faedah yang dilarang.
3. Tidak wujud riba yang diharamkan disebabkan kerana zalim yang berlaku ke atas satu pihak.Namun di dalam hal ni tiada sebarang kezaliman berlaku kerana kedua-duanya mendapat jumlah, dan tempoh yang sama, cuma di waktu yang berbeza sahaja.
PANDANGAN USTAZ AZHAR IDRUS
Berdasarkan pandangan Ustaz Azhar Idrus, aspek akad lafaz hutang yang menentukan hukum halal haram bermain kutu.
KESIMPULAN HUKUM BERMAIN KUTU DI MALAYSIA
Kesimpulannya, skim ‘kutu’ antara sesama rakan yang dipercayai dalam jumlah yang terhad dan munasabah serta bertulis adalah harus disebabkan ia hanyalah aktiviti pinjam meminjam.” Aktiviti saling memberi pinjam dengan nilai dan jumlah yang sama adalah harus.
UNDANG-UNDANG BERKAITAN BERMAIN KUTU DI MALAYSIA
Di bawah Sek 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang kutu 1971, salah disisi undang-undang menjalankan perniagaan menganjurkan kumpulan wang kutu.
“Kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.”
Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya
RISIKO BURUK BERMAIN KUTU DI MALAYSIA
1. Kemungkinan untuk berlaku pecah amanah atau penipuan oleh ibu kutu atau pemegang amanah yang mengumpulkan duit kutu. Hal ini boleh berlaku disebabkan banyak faktor seperti kesempitan wang, kecurian dan sebagainya. Semua ini boleh mendatangkan risiko kerugian kepada ahli.
2. Ahli yang liat membayar yuran kutu. Isu ini sering berlaku dalam pelaksanaan sistem kutu di Malaysia. Adalah menjadi risiko dan masalah kepada semua ahli jika terdapat ahli yang sukar atau liat untuk membayar yuran kutu bagi giliran orang lain. Hal ini juga mengundang risiko tekanan emosi yang menyumbang kepada pergaduhan dan masam muka sesama ahli.
3. Sistem kutu online yang giat dipromosikan adalah secara jelas mengundang risiko yang tinggi kepada ahli. Anda langsung tidak mengenali mereka dan tidak mengenal sikap mereka untuk berurusan boleh menyebabkan kerugian yang mudah.
4. Sistem kutu untuk membeli barang juga berisiko dan agak menindas kepada ahli. Ahli diberi peluang untuk membeli barang secara ansuran bulanan dalam sistem kutu untuk membeli barang kelengkapan rumah dengan harga yang tinggi patut dihindari oleh wanita dan suri rumah di Malaysia.